3 maut, tanah runtuh di Bkt AntarabangsaTerkini 2.50pm. Tiga orang dilaporkan terkorban dalam kejadian tanah runtuh di kawasan Bukit Antarabangsa, Hulu Klang setakat ini, termasuk seorang ibu dan anaknya. Manakala lapan lapan orang lagi dikhuatiri terperangkap dalam kejadian tanah runtuh jam 4 pagi tadi yang menyebabkan 14 banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama di kawasan Bukit Antarabangsa dekat ibu negara, tertimbus.
Menurut laporan media, 15 lagi mengalami kecederaan. Sultan Selangor turut berangkat meninjau tempat kejadian.Turut ke tempat kejadian ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak. Perdana Menteri telah mengarahkan supaya semua projek di kaki bukit di sekitar Bukit Antabangsa dihentikan sementara menunggu selesai kajian kestabilan tanah di Jalan Institut Kerjaraya Malaysia.Sebelum itu, Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar yang berada di tempat kejadian memberitahu, 93 mangsa dalam kejadian tanah runtuh yang menimbus 14 buah banglo di aman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama di kawasan Bukit Antarabangsa itu berjaya menyelamatkan diri, lapor Bernama.
Kejadian tanah runtuh itu telah mengakibatkan jalan utama ke kawasan perumahan terbabit terputus dan beratus orang terperangkap di Bukit Antarabangsa.
Pihak tentera, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Bomba dan Penyelamat dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kini sedang giat menjalankan kerja menyelamat.









